Translate This Blog

Tuesday, January 26, 2010

Penerangan solat qasar dan jama’

Penerangan solat qasar dan jama’ adalah seperti berikut:

1.0 Solat Qasar

1.1 Takrifan

Solat Qasar adalah mengqasarkan (memendekkan) solat yang empat rakaat iaitu Zuhur, Asar dan Isya’ kepada dua rakaat sementara solat Maghrib dan solat Subuh tidak boleh diqasarkan.

1.2 Hukum Qasar

Harus berdasarkan kepada dalil berikut:

i.Al-Quran surah al-Nisa’ ayat 101 yang bermaksud;

“Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) solat jika kamu takut diserang oleh orang kafir…”

ii. Al-Sunnah yang bermaksud;

‘Ya’la bin Umayyah pernah bertanya kepada Umar bin al- Khattab, “Kenapa kita perlu mengqasarkan solat sedangkan kita berada dalam keamanan?” Lalu beliau menjawab, “Aku telah bertanya kepada Nabi s.a.w., dan Baginda bersabda, solat qasar itu adalah sedekah yang Tuhan telah bersedekah kepadamu, maka terimalah sekalian kamu akan sedekah- Nya”
(Riwayat al-Nasa’i dan Abu Daud)

1.3 Jarak Dibenarkan Qasar

Dua marhalah iaitu empat burudin di mana setiap burudin mempunyai empat farsakhfarsakh terdiri daripada 5514 meter mengikut kiraan moden. Dari itu, dua marhalah adalah bersamaan 89 kilometer. dan setiap

1.4 Syarat Solat Qasar

i. Hendaklah pelayaran atau perjalanan itu diharuskan oleh syara’.

ii.Jauh pelayaran atau perjalanan itu tidak kurang daripada dua marhalah (89 kilometer / 56 batu).
iii.Berniat qasar di dalam takbiratul ihram.
iv.Tidak berimam dengan orang yang solat tamam (sempurna).
v.Hendaklah solat yang diqasarkan itu terdiri dari solat empat rakaat.

1.5 Contoh Niat

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat Qasar kerana Allah Taala)

2.0 Solat Jama'

2.1 Takrifan

Solat Jama’ terbahagi kepada :

i. Jama’ Taqdim iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Zuhur atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Maghrib.

ii.Jama’ Ta’khir iaitu mengerjakan solat Zuhur dan solat Asar dalam waktu Asar atau solat Maghrib dan solat Isya’ dalam waktu Isya’.

2.2 Syarat Solat Jama’

2.2.1.Solat Jama’ Taqdim

i.Hendaklah bersolat secara tertib iaitu mendahulukan solat Zuhur daripada solat Asar dan solat Maghrib daripada solat Isya'.
ii.Hendaklah niat Jama’ Taqdim di dalam solat pertama sebelum salam tetapi yang afdhalnya di dalam takbiratul ihram.
iii.Berturut-turut di antara solat yang dijama’kan itu.
iv.Berkekalan pelayaran atau perjalanan itu hingga takbiratul ihram solat yang kedua.
v.Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama (Zuhur atau Maghrib) berkekalan sehingga didirikan solat yang kedua (Asar atau Isya’).

2.2.2. Solat Jama’ Ta’khir

i.Hendaklah berniat jama’ dalam waktu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib.
ii.Berkekalan pelayaran atau perjalanan hingga memberi salam solat yang kedua.

2.3 Contoh Niat

2.3.1 Jama’ Taqdim

i.Jama’ Taqdim Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

ii.Niat Jama’ Taqdim Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala)

2.3.2 Jama’ Ta’khir

i.Jama’ Ta’khir Empat Rakaat

أصلي فرض الظهر اربع ركعات مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

ii. Niat Jama’ Ta’khir Beserta Qasar

أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلى العصر اداء لله تعالى
(Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat dihimpunkan kepada Asar tunai kerana Allah Taala)

sumber: http://www.e-solat.gov.my/

Thursday, January 21, 2010

Islam larang bakar gereja

DENGAN niat membantu dan mempromosi keharmonian antara kaum serta agama di Malaysia, saya menulis artikel ringkas ini. Diharap ia mampu memberi mesej yang baik buat rakan Islam juga bukan Islam yang membacanya.

Jelas lagi terang, tindakan membakar gereja bagi melahirkan ketidakpuasan hati terhadap kes penggunaan nama 'Allah' bagi Kristian salah disisi undang-undang. Namun masih ada yang bertanya, benarkah tindakan sebegini salah di sisi agama Islam? Artikel ini cuba memberi jawapan ringkas tetapi padat.

Di dalam sebuah negara Islam di zaman silam dan sejarah pembukaan Islam ke negara yang mempunyai gereja, Rasulullah SAW dan sahabat tidak sama sekali mengarahkan meruntuhkannya.

Baginda tidak membenarkan pembinaan gereja baru saja, namun gereja yang sudah wujud dan tidak digunakan untuk mencetus peperangan selain tidak menjadi kubu tentera, tidak sama sekali dirosak atau dirobohkan.

NABI DAN SAHABAT TIDAK ROBOHKAN GEREJA

Sahabat besar, Imam Ibn Abbas ra pernah dicatatkan berkata: “Mana-mana kawasan 'ajam' (bukan Arab) yang dibuka dengan izin Allah SWT melalui kekuatan Islam, maka penduduk asal bukan Arab boleh mengekalkan binaan mereka,”.

Ibn Qudamah kemudian mengulas: “Itu kerana walaupun sahabat membuka banyak negara baru melalui jalan peperangan, tidak sama sekali mereka merobohkan mana-mana gereja.”

Khalifah Umar Abd Aziz menulis kepada petugasnya supaya “tidak merosakkan gereja, biara, rumah api (tempat ibadat), kerana sudah ijma' atas perkara itu dan tidak dapat dinafikan wujud di negara umat Islam,” (Al-Mughni, Jld 10, hlm 609).

Itulah pendirian Islam khususnya di dalam keadaan Islam begitu kuat dan menguasai sebahagian besar daripada peta dunia. Berbeza di zaman serba moden ini, tatkala penganut Islam tidak seperti dulu, mereka tidak benar-benar 'menguasai' seperti sahabat dulu.

Mereka hanya berkongsi kuasa bersama golongan bukan Islam. Dalam keadaan seperti itu, keharmonian melalui kefahaman untuk tidak mengganggu tempat ibadat agama lain tentulah menjadi amat penting dan utama. Khususnya apabila penduduk bukan Islam di sesebuah negara itu sudah mengikat janji taat setia kepada negara dan menjadi warga negara.


MEMBAKAR TINDAKAN ZALIM

Allah SWT menyebut: “Orang-orang yang diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, Tuhan kami hanyalah Allah,”.
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya (masjid-masjid) itu banyak disebut nama Allah.

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa,” (Al-Haj: 40)
Imam Al-Tabari ketika mengulas ayat ini berkata: “Itulah hasil daripada Allah SWT menolak keganasan antara satu sama lain. Jika tidak kerana itu, mereka akan saling zalim menzalimi, maka yang kuat akan merobohkan tempat ibadat yang lemah,” (Tafsir At-Tabari, Jil 18, hlm 648).

Imam Al-Qurtubi pula membawakan kata-kata ulama sebelumnya yang berkata: “Ayat ini mengandungi larangan meroboh dan merosakkan binaan gereja kafir ahli zimmah, dan biara-biara mereka,” (Tafsir Al-Qurtubi, Jld 12, hlm 67).

Walaupun status ahli zimmah mungkin sukar diterima pakai untuk penganut bukan Islam di zaman ini, yang jelas dalam sebuah negara moden berbilang agama dan bangsa, kekuatan negara dikongsikan secara bersama.

Jadi, kurang tepat untuk mengambil bulat-bulat beberapa pandangan ulama silam, yang dilakukan berdasarkan situasi politik dan agama yang ada di depannya, di ketika kekuatan Islam yang sangat berbeza.

Justeru, Muslim tidak boleh sewenang-wenangnya mengganggu gereja, Yahudi, Kristian dan lain-lain. Penganut agama selain Islam pula tidak boleh merosak dan mengganggu masjid.

TINDAKAN MESTI DIKUTUK

Maka dengan itu, saya malah kita semua patut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pelaku pembakaran gereja. Namun, saya juga ingin melahirkan kebimbangan jika tindakan itu dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk memberi gambaran buruk kepada penganut Islam dan Islam itu sendiri.

Lebih berbahaya jika ia satu provokasi untuk menyeru tindak balas daripada pihak Kristian. Hakikatnya, jika ia dilakukan oleh orang Islam, itu akibat ketidakfahamannya terhadap kehendak sebenar Islam.

Jelasnya, tindakan sebegitu bukan sama sekali arahan Islam khususnya apabila ia hanya bakal mencetuskan kemudaratan yang lebih besar. Ini sekali lagi menjadikan tindakan bakar gereja sebagai haram.


CADANGAN JIKA INGIN MEMBANTAH

Kepada semua yang membantah, sebelum meneruskan bantahan, amat bijak jika kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa mengadakan diskusi tertutup antara wakil muslim dan Kristian.

Terangkan dengan jelas situasi di Malaysia dan beritahu permintaan kita dengan diskusi. Saya kira cara itu mungkin jalan terbaik ketika ini. Bagi yang ingin terus membantah, jangan sesekali memulakan pergaduhan dan pemusnahan fizikal kerana ia bakal mencetuskan kesan yang jauh lebih buruk, bukan saja di Malaysia malah di seluruh dunia.

Malah, berita ini sudah pun tersebar meluas di negara Barat, menampakkan seolah-olah umat Islam sentiasa wajar digelar pengganas. Padahal tidak mampu dipastikan lagi siapa pelakunya dan apakah agamanya.

Oleh itu, boleh nyatakan bantahan secara aman melalui Facebook, blog persendirian, demonstrasi aman, memorandum dan selebihnya, tunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Jika keputusan masih tetap menghala kepada mengharuskan, desak dan berikan idea kepada kerajaan untuk meletakkan syarat penggunaan atas nama keselamatan negara.

Mereka perlu cari peruntukan undang-undang sesuai yang boleh digunakan bagi tujuan itu.

reference: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Islamlarangbakargereja/Article/indexp_html

Sunday, January 17, 2010

Kalau ALLAH itu Maha Baik, Mengapa Buat Neraka?

Oleh : Amin Fadzlan

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la...setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peratura n ni bukan semata-mata peraturan
majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka..."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar
nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..


Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab:"Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti
masuk syurga... Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik,orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah...mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak.

Assalamu'alaikum. "

reference: http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=92818