Translate This Blog

Tuesday, September 29, 2009

Doa murah rezeki dari suraj Al Talaaq


Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah hidup Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.

Ayat ini sering disalah guna oleh pelbagai pihak dengan tujuan semoga perniagaan dan jualan yang mereka jalankan sentiasa beroleh keuntungan dan jauh dari kerugian. Kaedah yang mereka gunakan adalah dengan menggantungkannya di sebahagian tempat-tempat tertentu dari bahagian kedai atau restoran-restoran mereka. Malah ada sebahagiannya yang sanggup berhabis ratusan ringgit bagi mendapatkan struktur ayat yang lengkap dengan frame dan seni tulisan tertentu.

Walhal, apa yang sebenarnya mereka lakukan itu adalah suatu perbuatan yang menyalahi sama sekali tujuan penurunan al-Qur’an kepada kita. Dalam banyak tempat, Allah menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah sebagai huda (petunjuk), al-Furqon (pemberi peringatan), penjelas (mubin), busyro (berita gembira) dan juga rahmat? (Rujuk: Pengantar Studi Ilmu al-Qur’an, m/s. 19-23) Bukannya sebagai penangkal dan pelaris. Jika benar perbuatan itu adalah suatu yang haqq, maka bawakan contohnya (bukti/penjelasan) dari Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat beliau yang memperlakukan hal seperti itu.

Tidakkah mereka memahami maksud ayat yang mereka ambil tersebut? Ia tidak lain adalah ditujukan kepada orang yang bertaqwa atau yang hendak bertaqwa. Bukan mereka yang cuba berlaku syirik dengan percaya kepada karut-marut dan tangkal-tangkalan. Manakala penisbahan kalimat “Ayat Seribu Dinar” ke atas ayat tersebut itu sendiri, entah dari mana datangnya. Kalau ada rujukan hadisnya, nak tahu juga saya.

Berikut saya utarakan beberapa hadis yang melarang keras mereka yang cuba bermain dengan tangkal dan azimat. Tidak kira sama ada tangkal itu dijadikan daripada al-Qur’an atau pun bukan al-Qur’an ianya tetap bernama tangkal dan tetap haram dan syirik menurut maksudnya.

"Sesungguhnya jampi mentera (tamaim), tangkal dan guna-guna itu perbuatan yang syirik". (H/R Ibn Majah (3521) at-Tibb. Ahmad (3433) Musnad. Abu Daud (3385) at-Tibb)

"Sesiapa yang memakai (mengantung) tangkal, maka ia telah melakukan kesyirikan". (H/R Turmizi (1998) at-Tibb. Nasaii (4011) Tahrimul ad-Dam)

"Sesiapa yang memakai (bergantung kepada) sesuatu (tangkal, azimat pendinding) maka dia telah bertawakkal dengannya. Allah akan menyerahkan urusannya kepada sesuatu itu". (H/R Turmizi dan al-Hakim)

"Barangsiapa yang memakai sesuatu (tangkal, azimat atau pendinding) maka ia telah mewalikan atau bertawakal kepadanya". (H/R Ahmad (18035) Musnad al-Kufiyyin)

"Dari Isa bin Abdulrahman berkata: Kami melawat Abdullah bin 'Ukaim dan dia sedang sakit maka dikatakan kepadanya: (Ada baiknya) jika engkau memakai sesuatu (tangkal). Maka beliau berkata: Apakah aku akan memakai sesuatu (tangkal) sedangkan Rasulullah saw telah bersabda : Sesiapa yang telah memakai sesuatu (dari jenis tangkal) maka dia telah bertawakkal kepadanya". (H/R Ahmad (18030) Musnad. Turmizi (1998) at-Tibb)

"Sesiapa yang menggantung (memakai) tangkal maka ia telah melakukan kesyirikan." (H/R Ahmad (16781) Musnad)

Islam telah mengharamkan setiap mukmin menyeru selain Allah untuk meminta pertolongan yang melibatkan perkara-perkara yang ghaib. Begitu juga Islam mengharamkan para mukmin dari menggunakan tangkal, azimat, pendinding atau yang seumpamanya kerana benda-benda tersebut tidak akan memberi faedah atau sebarang kesan kepada penggunanya sebagaimana penjelasan Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya:

"Katakanlah! Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai pelindung) selain Allah mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarrah di langit dan di bumi dan mereka tidak memiliki suatu saham pun dalam (urusan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya". (Saba', 34: 22)

Sekiranya Allah Subhanahu wa Ta'ala menurunkan bahaya, kemudaratan dan bala ke atas mereka yang memakai tangkal, azimat atau pendinding, mereka tidak akan dapat menjadikan benda-benda tersebut sebagai pelindung sebagaimana yang mereka sangkakan.

Firman Allah:

"Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada kamu, maka tiada yang berkuasa menghilangkannya melainkan Allah dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada kamu, maka Dia Maha Kuasa di atas sesuatu". (al-An’am, 6: 17)

Kesimpulan:

1 – Beramal-lah dengan ayat-ayat al-Qur’an dengan cara yang betul, dengan ilmu, membaca, dan berusaha memahami serta mempelajarinya.

2 – Apa yang disarankan melalui ayat surah ath-Thalaq, 65: 2-3 itu sendiri meminta kita untuk bertaqwa dan Allah akan memberi ganjaran rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka serta akan membantu mereka yang bertaqwa dengan mencukupkan keperluannya.

3 – Ayat al-Qur’an bukan bahan untuk dijadikan sebagai tangkal dan alat pelaris. Malah perbuatan mempercayai tangkal itu sendiri termasuk ke dalam hal yang syirik dan berdosa besar.

4 – Langkah terbaik untuk meminta pertolongan adalah dengan cara berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, dan Maha Pemberi Rezeki. (Rujuk al-A’raaf: 180, az-Dzariyat: 58, dan al-Baqarah: 186) Di samping sentiasa berusaha menggandakan usaha dan mempelbagaikan strategi pemasaran/perniagaan yang betul.

Di antara khasiat dan fadhilat Ayat Seribu Dinar ini ialah:

1. Dibaca bila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara

2. Menghilangkan keresahan bila dibaca di waktu resah

3. Dibaca ketika hendak menaiki kenderaan.

Wallahu a’lam...

http://www.youtube.com/watch?v=fPOPakv2lwE

Sunday, September 20, 2009

Doa penerang hati



Doa penerang hati

Ya Allah, bukakanlah ke atas kami hikmatMu
dan limpahilah ke atas kami khazanah rahmatMu,
wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Wahai Tuhanku, tambahkanlah ilmuku dan luaskanlah kefahamanku.
Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku dan mudahkanlah urusanku

bidaah

definasi ni mmg sukar di persatukan. Ini kerana akal manusia terbatas dan daya kefahaman mereka tidak sama.

masalah utama ialah mereka mentakwil utk justify amalan mereka. itu adalah masalah besar.

Misalnya ritual utama mereka ialah ziarah kubur Wali. Maka mereka akan takwil kalimah bid'ah utk justify bahawa ziarah kubur wali tu adalah bid'ah Hasanah,

gitu jugak mereka nak justify baiknya kenduri tahlilan arwah, maka mereka buat keputusan itu juga bid'ah hasanah.

mereka ni bukan tak faham, tapi mereka cipta istilah mereka sendiri utk justify kebid'ahan mereka...maka ditampal kalimah hasanah.

Cth: Bohong tu dosa besar, tapi nak justify bohong atau klentong mereka, maka diciptanya istilah Bohong Sunat.

orang syi'ah, bukan depa tak tahu akidah mereka yg mengagungkan Ali tu bid'ah dalam akidah, tapi depa ada agenda tersendiri, maka depa justify bid'ah akidah mereka tu dgn nama syi'ah ali.

Jadi, jgnlah kita kecewa dgn geng yg cenderong kepada bid'ah, kerana mereka mmg tak minat kpd kebenaran....

Antara Kehendak Kerohanian Dan Tarekat

Oleh: Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin
Sumber: http://drmaza.com

Apabila masyarakat manusia menjadi berselerak, kelam kabut, porak peranda, kekontangan jiwa, keruntuhan nilai akhlak dan budi, sedangkan penyelesaian yang memuaskan tidak dapat ditemui, ketika seperti itu kita akan melihat bagaimana sebahagian manusia akan mula mencari agama sebagai jalan keluar. Jika pun tidak untuk merongkaikan masalah itu secara keseluruhan, sekurang-kurangnya untuk menyelesaikan keresahan atau keserabutan yang ada dalam jiwa seseorang.

Tidak mustahil di peringkat yang seperti ini, ajaran-ajaran kerohanian yang menawarkan ‘kempen-kempen ajaib’ akan mendapat perhatian sesetengah golongan. Tarekat-tarekat yang mempunyai cerita-cerita ajaib dan pelik akan mula diminati oleh sesetengah pihak sebagai satu penyelesaian ‘ekstrim’ yang kononnya dapat membuka kehidupan baru penuh cerita-cerita sakti.

Kita akan melihat banyak pihak akan mengambil kesempatan atas ‘kehausan rohani’ masyarakat. Ada yang bertujuan menyebarkan ajaran sesatnya, ada juga pula yang bertujuan untuk mengumpulkan kekayaan atau kuasa. Hal seperti ini sering berlaku ketika kemelut sosial melanda masyarakat Islam termasuk semasa zaman ‘Abbasiah. Ia juga akan berlaku dalam negara kita. Saya ingin menyentuh tajuk ini kerana banyak pihak mula bertanya tentang banyak cerita-cerita tarekat yang mula muncul dalam masyarakat kita.

Saya ingin mengingatkan pembaca tentang satu hakikat yang penting bahawa Islam itu ditegakkan atas prinsip-prinsip akidah yang jelas. Paksi akidah Islam terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Apa-apa pengalaman kerohanian yang tidak berasas akidah Islam adalah tertolak. Siapa pun syeikh, besar mana pun serbannya, sepetah mana pun dia, apa pun tafsirannya tentang kerohanian, namun jika ia bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah, maka ia tertolak.

Agama-agama lain juga ada pengalaman kerohanian mereka, namun itu semua tidak dijadikan sukatan dalam ajaran Islam untuk menentukan ketepatan ajaran. Pengalaman kerohanian itu diterima jika tidak bercanggah dengan wahyu yang diturunkan. Rasulullah s.a.w ialah guru kerohanian yang agung dan utama, mengatasi segala tokoh dan syeikh tarekat. Jika ajaran kerohanian itu tidak sama dengan ajaran Rasulullah s.a.w maka itu bukan jalan hidayah yang diimani oleh seorang muslim.

Ya, kita akur persoalan kerohanian dan penyucian jiwa adalah perkara yang penting dan ada dalam ajaran Islam yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Usaha untuk membersihkan diri itu mestilah dengan panduan kedua sumber tersebut secara tepat. Tanpa tarekat tertentu, apa yang ada dalam al-Kitab dan al-Sunnah sudah memadai bagi setiap muslim. Bukanlah bererti bahawa seseorang jika tidak menyertai terekat bererti dia tidak akan dapat membersihkan diri.

Sebaliknya, sekiranya seseorang berpegang dengan ajaran Nabi s.a.w dia akan menemui semua penawar untuk jiwa. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah begitu banyak berhubung dengan tazkiah al-Nafs (penyucian jiwa). Ahlus Sunnah wal Jama’ah berpegang bahawa jalan untuk membersih telah pun ditunjukkan dengan jelas oleh baginda s.a.w. Itulah tonggak kerohanian. Bahkan mana-mana jalan (tarekat) kerohanian yang bercanggah dengan jalan Rasul s.a.w adalah ditolak, seperti yang dinyatakan sebelum ini.

Seorang tokoh ilmuwan Islam terkenal Dr. `Abd al-Karim Zaidan dalam buku yang masyhur Usul al-Da’wah menyebut:

“Amalan soleh adalah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu adalah yang menepati syarak, maka membuat bid`ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah. Bid`ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid`ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul S.A.W memberi amaran mengenai bid`ah, sabdanya:“Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah di dalam neraka” (sahih: riwayat Abu Daud). Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya. (m.s. 41, Beirut : Muassasah al-Risalah)

Perkara kedua yang patut kita sedar, bahawa sebahagian ajaran tasawwuf dan tarikat dipengaruhi oleh anasir-anasir luar daripada Islam, seperti unsur-unsur ajaran Kristian, Hindu, Parsi, Yunan dan lain-lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam. Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawwuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad, atau wahdatul wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid, zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah)

Saya menimbulkan hal ini, bukan bertujuan mematahkan semangat mereka yang ingin membersihkan diri. Saya menimbulkannya untuk kita berhati-hati. Jangan sampai ada pihak yang tersangkut dengan ajaran yang memisahkan antara hakikat dan syariat, atau dalam erti kata lain menganggap kerohanian yang mereka pelajari tidak lagi bergantung kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Dalam kehendak ingin mendekati Allah, janganlah kita tersasul sehingga terjun ke lembah falsafah kerohanian yang mengeluarkan pemikiran dan cerita-cerita yang pelik, yang akhirnya bukan membawa insan mendekatkan diri kepada al-Quran dan al-Sunnah, sebaliknya ‘seronok sendiri’ dengan bahasa dan istilah yang dia anggap orang lain tidak tahu. Bak kata tokoh ilmuwan besar al-Syeikh Munna’ al-Qattan ketika memperkatakan tentang tafsir golongan sufi:

“Tasawwuf telah bertukar menjadi falsafah andaian semata-mata, yang tiada lagi hubungan dengan warak, taqwa dan kezuhudan. Falsafah ini mengandungi pemikiran-pemikiran yang bercanggah dengan Islam dan akidahnya”.( Manna’ al-Qattan, Mabahith Fi `Ulum al-Quran, m.s. 356, Riyadh: Maktabah al-Ma`arif).

Dalam dunia umat Islam berbagai ajaran kerohanian atau tarekat wujud. Hingga ada yang salah faham, sehingga menganggap tarekat sufi yang memakai ‘skirt’ berpusing berjam-jam tanpa henti dalam keadaan khayal seperti di Turki, itulah kerohanian Islam. Sama sekali tidak. Kita berpegang apa yang al-Imam al-Syatibi (w. 790H) kata:

“Golongan sufi juga sama seperti orang lain yang tidak maksum (terpelihara dariapada dosa). Adalah mungkin untuk mereka silap, lupa dan bermaksiat samada dosa kecil atau besar. Justeru itu para ulama menyatakan: setiap percakapan boleh diambil atau ditinggalkan, kecuali percakapan Nabi s.a.w…sepertimana kemungkinan untuk selain golongan sufi melakukan maksiat dan bid`ah, demikian mereka (ahli sufi). Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang dari silap (maksudnya RasululuLah s.a.w) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat pada ikutan tersebut kekeliruan. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima kita tinggalkannya. Kita hanya diwajibkan mengikut syarak dan kita tidak pula diwajibkan mengikut perkataan dan perbuatan golongan sufi, melainkan setelah dibentangkannya” (kepada al-Quran dan al-Sunnah).( Al-Syatibi, Al-`Itisam m.s 165, Beirut Dar al-Kitab al-`Arabi, Beirut)

Tuesday, September 15, 2009

SOLAT TARAWIH : 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT

TARAWIH : 8 RAKAAT ATAU 20 RAKAAT

Isu berkenaan dengan bilangan rakaat bagi solat tarawih adalah perkara khilafiyyah yang sering diperdebatkan dikalangan “ustaz-ustaz kampong” dikala kedatangan Ramadhan yang mulia.

Perbincangan berkenaan dengan perkara khilafiyyah ini sudah lama berlaku, tetapi di panaskan perdebatannya dikalangan umat. memelikkan perdebatan sebegini dibesar-besarkan, sedangkan dalam masa yang sama, ramai manusia yang tidak menunaikan solat, yang selalunya menimpa kepada budak-budak muda, bahkan ianya menimpa juga kepada “budak-budak tua”.

Walaubagaimanapun, aku tetap mengambil jalan tengah dalam menyatakan bahawa, bilangan rakaat dalam solat tarawih adalah perkara khilafiyyah dikalangan ulama.

Di sini, aku akan mengemukakan kedua-dua pendapat disertai hujjah dipihak masing-masing. Tujuannya adalah agar semua umat Islam dapat merasakan bahawa perkara khilafiyyah ini bukan bermakna pihak yang tidak berserasi dengan mereka itu tidak mempunyai dalil dan hujjah, bahkan kadangkala hujjah golongan yang menyanggahi mereka itu lebih bertepatan dengan kehendak hujjah dan dalil.

Walaubagaimanapun, aku tidak akan mentarjih salah satu dari kedua-dua pendapat ini disebabkan aku bukan manusia yang berkeahlian dalam mentarjih pendapat ulama-ulama yang hebat ini.

GOLONGAN 20 RAKAAT

Bagi golongan ini, mereka berpendapat bahawa, menunaikan solat tarawih dengan 20 rakaat adalah sunat muakkad. Mereka mendakwa, amalan ini dipelopori oleh Rasulullah SAW sendiri.

Dalil mereka adalah seperti berikut;

Hadis Yazid bin Ruman;

كان الناس يقومون في زمن عمر في رمضان بثلاث وعشرين ركعة

Maksudnya;
“Manusia sentiasa mendirikan (solat tarawih) dalam bulan ramadhan di zaman Omar sebanyak 23 rakaat[1]”

Hadis Ibni Abbas;

أن النبي صلّى الله عليه وسلم كان يصلي في شهر رمضان عشرين ركعة

Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa menunaikan solat dalam bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat[2]”

Begitujuga dilihat kepada perbuatan Omar yang telah menghimpunkan manusia supaya menunaikan solat tarawih secara berjemaah yang diimamkan oleh Ubai bin Kaab sebanyak 20 rakaat[3].

Dari hadis-hadis yang dinyatakan di atas, didapati bahawa, Baginda SAW beserta sahabat-sahabat menunaikan solat tarawih dengan bilangan 20 rakaat. Walaubagaimanapun, ulama fiqh ada menyatakan kadar bilangan solat tarawih seperti berikut;

a. kebanyakkan ulama menyatakan, berdasarkan kepada amalan Muhajirin dan Ansar, solat tarawih ditunaikan dengan bilangan 20 rakaat.
b. Di zaman Khalifah Omar Bin Abdul Aziz, solat tarawih di tunaikan dengan bilangan 36 rakaat tanpa disertai solat witir. Pendapat ini diamalkan oleh ahli Madinah qadim[4].

GOLONGAN 8 RAKAAT

Golongan ini mendakwa bahawa, Rasulullah SAW tidak pernah melebihi bilangan rakaat solat tarawih dari 11 rakaat.

Sandaran mereka dalah hadis seperti berikut;

عن أبي سلمة بن عبد الرحمن أنه سأل عائشة رضي الله عنها كيف كانت صلاة رسول الله صلى الله عليه وسلم في رمضان فقالت : ما كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة

Maksudnya;
“daripada Abi Salamah bin Abd Ar-Rahman, sesungguhnya dia bertanya Aisyah RHa; bagaimanakah solat Rasulullah SAW dalam bulan Ramadhan? Menjawab Aisyah RHa; Rasulullah SAW tidak pernah melebihkan dari 11 rakaat dalam bulan Ramadhan dan yang lain darinya[5]”

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam muslim dan Ibnu Abi Syaibah:

كانت صلاته في شهر رمضان وغيره ثلاث عشر ركعة بالليل منها ركعتا الفجر

Maksudnya;
“Solat (nabi SAW) didalam bulan Ramadhan dan lainnya pada waktu malam adalah 13 rakaat. 2 rakaat daripadanya (yakni daripada 13 rakaat) tersebut adalah solat fajar[6]”

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan lainnya;

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنه قال : صلى بنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في شهر رمضان ثمان ركعات وأوتر فلما كانت القابلة اجتمعنا في المسجد ورجونا أن يخرج فلم نزل فيه حتى أصبحنا ثم دخلنا فقلنا يا رسول الله اجتمعنا البارحة في المسجد ورجونا أن تصلي بنا فقال : إني خشيت أن يكتب عليكم

Maksudnya;
“daripada Jabir bin Abdillah RA berkata; Rasulullah SAW solat bersama kami dalam bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan juga melakukan witir. Ketika kedatangan hari selanjutnya, kami berhimpun dalam masjid dan kami berharap agar Baginda SAW keluar (untuk menunaikan solat tarawih). Didapati Nabi SAW tidak keluar hinggalah kami berpagi-pagi berjumpa dengan Nabi SAW lalu kami berkata; Ya Rasulullah SAW, kami berhimpun semalam didalam masjid, dan kami berharap agar kamu solat solat bersama kami. Lalu bersabda Nabi SAW; sesungguhnya aku bimbang (solat tarawihh itu) diwajibkan keatas kamu[7]”

Dari beberapa hadis yang dinukilkan, didapati bahawa, perbuatan Rasulullah SAW menunaikan solat ramadhan adalah tidak melebihi dari 11 rakaat. Ianya memberi maksud, 8 rakaat untuk solat tarawih dan 3 rakaat berbaki adalah solat witir.

PENUTUP

Diperhatikan kepada kedua-dua golongan ini didapati bahawa kesemua mereka mempunyai hujjah masing-masing.

Maka dengan demikian, tidak perlu diperdebat panjang dalam isu ini. Barangsiapa yang ingin melakukan 8 rakaat, maka silakan. Dan begitujuga, dipersilakan bagi mereka yang ingin melakukan solat tarawih dengan 20 rakaat.

Apa yang lebih penting untuk diperdebatkan adalah, bagaimana hendak mengajak dan berusaha untuk mengajak mereka yang tidak menunaikan solat tarawih disamping meninggalkan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT agar mereka menunaikan tuntutan Ilahi ini.

Sekian
Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/

email : abu_abdillah_azzam@yahoo.com






[1] Muwatta’ Imam Malik : 1/342 : hadis no : 233.
[2] Musannif Ibni Ibni Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (1).
[3] Musannif Ibni Abi Syaibah : 2/285 : hadis no : 227 (5) hadis ini dinyatakan oleh Syaikh Albani sebagai hadis doif Jiddan yang tidak boleh dijadikan hujjah (lihat kitab “Solat At-tarawih” : 1/22). Menyatakan hadis ini sebagai doif jiddan juga adalah Imam As-Sayuti didalam kitabnya “Al-Hawi li Al-Fatawa dengan alasan, dalam hadis ini terdapat Abu Syaibah Ibrahim bin Osman yang dilihat oleh Al-Hafiz sebagai “متروك الحديث” lihat Al-Hawi lil Al-Fatawa : 2/73”.
[4] Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh : 2/251.
[5] Muwatta’ Imam Malik : 1/355 : hadis no : 243.
[6] Sunan Al-Kubra lil Baihaqi : 3/7
[7] Al-Mu’jam As-Saghir Li At-Tabarani : 2/127 : hadis no : 526.
Posted by Syaikh Al-Bakistani at 1:29 PM

*rujukan dari blog : http://laptopdarulfiqh.blogspot.com/2007/09/tarawih-8-rakaat-atau-20-rakaat.html

Monday, September 14, 2009

Sejadah berdiri (dlm bulan ramadhan)


PASIR MAS - Percaya atau tidak, sehelai sejadah bergerak dan berdiri secara tiba-tiba hingga menggemparkan seisi rumah warga emas, Sharifah Nor Syed Agil, 61, di Kampung Tok Sangkut, Repek di sini pagi kelmarin.

Mereka mendakwa, bentuk sejadah itu ketika berdiri kelihatan seolah-olah seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Kejadian misteri itu berlaku kira-kira hampir lapan jam sehingga mengundang ramai penduduk kampung ke rumah tersebut untuk menyaksikan keajaiban sejadah itu yang dikatakan berdiri tanpa bantuan sesiapa.

GAMBAR sejadah berdiri yang sempat dirakamkan oleh Mohd. Faizal di rumahnya di Repek, Pasir Mas semalam.

Namun, kejadian pelik itu berakhir apabila sejadah itu kembali menyembah lantai setelah seorang tetamu yang hadir menyentuhnya meskipun telah dilarang.

Menurut Sharifah Nor, kejadian pelik itu disedari oleh anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, yang kebetulan baru saja terjaga daripada tidur di ruang tamu rumah pukul 8.30 pagi ketika dia sedang sibuk membuka kedai runcitnya.

Menyedari sejadah milik ibunya sedang berdiri, perasaan takut mula menyelubungi Mohd. Faizal dan terus memanggil ibunya yang berada di kedai untuk memaklumkan keadaan tersebut.

*berlaku pd 13/14 sept 2009

Hadis Baitul Maqdis

Hadis Baitul Maqdis..
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ ‏ ‏بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ ‏ ‏وَأَكْنَافِ ‏ ‏بَيْتِ الْمَقْدِسِ
Maksud hadis: Akan sentiasa ada wujud sekumpulan dari umatku yang terus menegakkan kebenaran dan tegas mendepani musuh. Tidak memudaratkan perjuangan mereka walau dipinggirkan dan dirintangi kesusahan kecuali ujian (Illahi) sehinggalah datang ketentuan Allah. Mereka akan tetap sedemikian.Sahabat bertanya “Di mana mereka itu?”Baginda menjawab “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di kawasan sekitarnya”

Tapi part yang Sahabat bertanay Dimana mereka itu dan seterusnya tidak sahih... Oleh itu part yang awal sahaja yang boleh di terima.
Dipetik dari: http://bintbakri87.blogspot.com/2009/03/hadis-baitul-maqdis.html